Wednesday 9 October 2013

PSIKOMOTOR DAN PERGERAKAN KANAK-KANAK


LAPORAN
KERTAS KERJA

PENGAJARAN GERAK TARIAN KEPADA KANAK-KANAK

PENDAHULUAN

Persembahan Tarian Tradisional adalah satu aktiviti yang memberikan pendedahan kepada kanak-kanak untuk menghayati keunikan warisan budaya negara. Di samping itu, perkembangan yang seimbang dalam diri kanak-kanak dalam segala aspek dapat dipupuk.  Seni tari merupakan warisan budaya yang menghiasi keunikan kaum-kaum di Malaysia sama ada orang Melayu, orang Cina, orang India dan bumiputera Sabah dan Sarawak. Gerak tari yang dipersembahkan benar-benar eksotik dan menawan apabila ianya ditambah dengan gerak anggota badan yang dilakukan dengan lemah lembut sambil diiringi dengan bunyian muzik.

SEKILAS PANDANG

Tarian joget merupakan tarian yang paling popular di Malaysia. Asal-usul tarian joget ini dikatakan mempunyai perkaitan dengan elemen tarian Portugis yang telah diperkenalkan di Melaka semenjak era perdagangan rempah.Tarian ini dijadikan sebagai tarian sosial serta diterima oleh berbagai-bagai kaum di Malaysia. Tarian ini dipersembahkan apabila menjelang sesuatu perayaan kebudayaan, meraikan majlis perkahwinan dan juga majlis-majlis yang lain. Tarian Joget ini dipersembahkan oleh sepasang penari dengan kombinasi pergerakan tangan dan kaki yang pantas. Joget ini merupakan satu tarian yang hebat dengan tempo yang pantas dan amat digemari dalam kalangan golongan muda mahupun tua.

Tarian Sumazau adalah satu jenis tarian tradisional dari suku kaum Dusun-Kadazan di negeri Sabah, terutama bagi suku kaum Dusun di Membakut, Penampang, dan Papar. 'Sumazau' adalah berasal daripada kata akar 'Sazau' yang bermaksud lompatan dalam dialek suku kaum itu. Tarian Sumazau pada mulanya adalah berdasarkan pergerakan unggas yang berjalan di atas tanah, iaitu dengan membuat lompatan kecil, tetapi telah diubah dari semasa ke semasa hingga ke hari ini. Tarian ini akan diiringi oleh muzik tradisi yang memainkan muzik dengan alunan dan maksud yang tertentu. Antara alat muzik yang digunakan adalah seperti gendang, gong, tetawak, caklempung, sompotan, dan berbagai-bagai lagi. Penari-penari tarian Sumazau ini yang terdiri daripada lelaki dan wanita akan memakai sejenis pakaian khas yang diperbuat daripada kain baldu dan tenunan benang.

OBJEKTIF

·         Mempertingkatkan kefahaman dan kesedaran kepada kanak-kanak tentang tanggung jawab untuk memelihara dan memperkembangkan warisan budaya.
·         Memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menunjukkan bakat dan kreativiti masing-masing.
·         Menggalakkan murid-murid menghayati tarian tradisional yang ditarikan serta mengetahui sejarah tarian tersebut secara ringkas.
·         Membina keyakinan diri dalam kalangan murid.

RASIONAL

·         Menghargai budaya warisan bangsa di Malaysia.
·         Meningkatkan pengetahuan tentang tarian di Malaysia.
·         Menghidupkan nilai-nilai budaya dalam diri kanak-kanak.

JUMLAH MURID
·         Tarian Joget Pahang  = seramai 6 orang murid.
·         Tarian Sumazau         = seramai 6 orang murid

MASA LATIHAN
·         Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika (Perkembangan Kreativiti)

PENGELOLAAN
·   Sesi pengajaran gerak tari ini dijalankan di dalam kelas semasa pembelajaran Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika di bawah sub Perkembangan Kreativiti. Perkembangan kreativiti merangkumi seni visual, pendidikan muzik serta drama dan gerakan kreatif. Tunjang ini lebih menekankan proses daripada produk. Kanak-kanak diberi peluang untuk menzahirkan idea mereka secara kreatif dan melibatkan diri dalam aktiviti kreativiti.

COSTUME
·         Kelengkapan persembahan tarian yang lengkap dan sempurna mampu meningkatkan lagi semangat murid-murid untuk lebih tekun berlatih seterusnya membuat persembahan dengan lebih menarik. Oleh itu, pakaian yang sesuai dipilih agar sesuai dengan tarian yang akan dipersembahkan.
Tajuk   : Joget Pahang
Muzik : Jing Kling Nona
Langkah-langkah pengajaran tarian:

Langkah pertama.
Murid berdiri tegak sebelum memulakan tarian.
·         Apabila muzik dimainkan, murid akan bertepuk tangan secara bersahaja sambil menggoyangkan bahu dan badan perlahan-lahan.

Langkah kedua.
Seterusnya murid akan menukar gerakan dengan tangan kiri di atas bahu serta tangan kanak berada di pinggang sebaliknya bagi kanak-kanak lelaki.
·         Gerakan diselang-selikan dengan kaki kiri dan kanan.

Langkah ketiga.
·         Pergerakan tangan dan kaki di tukar seperti pada langkah yang ketiga.
·         Ulang pergerakan beberapa kali.
·         Ketika ini, murid dikehendaki peka dengan muzik agar pergerakan seterusnya dapat dilakukan serentak.

Langkah keempat.
Secara berpasangan, murid akan berjoget dengan menyilangkan kaki kiri dan kanan.
·         Tangan murid berada di bahu dengan arah bertentangan dengan pasangan.

Langkah kelima.
Murid perempuan akan bergerak kebelakang dan menyilangkan tangan ke lengan lelaki.
·         Secara berpasangan, murid akan bergerak perlahan dalam rentak tari dengan menggoyangkan bahu dan pinggang.

Langkah keenam.
Sebelum menamatkan persembahan, murid lelaki akan dating hampir ke murid perempuan.
·         Berada dalam keadaan bercangkung, tangan kanak akan dinaikan ke atas manakala murid perempuan hanya berdiri dan menaikan tangan ke atas sambil menggoyangkan pinggan dan badan.
Tajuk   : Tarian Sumazau
Muzik : Tinggi Tinggi Gunung Kinabalu

Langkah-langkah pengajaran tarian:
Langkah pertama.
Pergerakan menghayunkan tangan menegak ke hadapan.
·         Kaki dijengkekkan sedikit agar menampakkan pergerakan pada kaki.

Langkah kedua.
Tangan dihayunkan ke belakang.
·         Sama seperti pergerakan pertama, murid hanya perlu menghayunkan tangan ke depan dan kebelakang.

Langkah ketiga.
Murid perempuan menukar kedudukan dengan memusingkan badan ke belakang supaya bertentangan dengan murid-murid lelaki.
·         Hayunan tangan hendaklah serentak dan kaki bergerak sedikit seperti dijengkekkan sedikit.

Langkah keempat.
Murid lelaki bertukar tempat dengan murid perempuan.
·         Pergerakan yang dilakukan sama, cuma murid perlu bergerak perlahan dan kaki seiring.
·         Memandang kehadapan dan mendepakan tangan ke atas dank e bawah.
·         Bersedia untuk menamatkan tarian.

PENUTUP

Perkembangan kanak-kanak mencakupi berbagai-bagai aspek iaitu, aspek-aspek fizikal, mental, bahasa, sosioemosi dan kerohanian. Perkembangan yang sihat mestilah mencakupi semua aspek yang dinyatakan. Memandangkan pentingnya aspek-aspek ini, maka aktiviti-aktiviti yang dirancang seharusnya memberikan keutamaan kepada semua aspek perkembangan di samping membantu dalam perkembangan aspek yang lainnya.

Oleh yang demikian, aktiviti gerak tari juga merupakan salah satu elemen yang penting dalam membantu perkembangan murid. Malah, ia berpotensi untuk mencungkil bakat kecil agar dapat diketengahkan. Selain itu, menerusi aktiviti tarian juga membantu dalam perkembangan psikomotor, kognitif serta afektif murid.

Saturday 2 June 2012

Jom Berpantun...

Ada beras taruh dalam peti,
Ada hajat taruh dalam hati.

Ada ubi ada batas,
Ada budi boleh dibalas.

Anak dara pergi ke kedai,
Rindu di hati rasa nak longlai.

Ayam bulat makan padi beras,
Bangun lambat dapat laki malas.

Buah beluluk buah kepayang,
Akan mabuk buang sayang.

Banyak udang banyak garam,
Banyak orang banyak ragam.

Berniaga buluh kasap,
Untung habis modal lesap.

Buah beluluk buah kepayang,
Dimakan mabuk dibuang sayang.

Cekur dang gamit,
Mintak cekur beri kunyit.

Dahulu parang sekarang besi,
Dahulu sayang sekarang benci.

Daripada cempedak biarlah nangka,
Daripada tiada baiklah ada.

Duduk inding enggang tap,
Senduk di dinding, panggang di atap.

Gendang gendut tali kecapi,
Kenyang perut suka hati.

Guni kapur kirim pak mertua,
Nyanyi di dapur kahwin orang tua.

Hujung bendul dalam semak,
Kerbau mandul banyak lemak.

Ikan tokak makan meranggung,
Sedap tekak badan menanggung.

Kalau padi taruh sama beras,
Kalau tak mati boleh balas.

Kalau tak cengal giam,
Kalau tak kenal diam.

Kapal belayar dalam semak,
Perut lapar semua lemak.

Kayu bongkok di balik tiang,
Ayam berkokok alamat nak siang.

Kayu lurus tengah ladang,
Kerbau kurus banyak tulang.

Kembang jarak kembang jagung,
Berani bawak berani tanggung.

Keli masuk ruan keluar,
Matahari masuk bulan keluar.

Kura-kura dalam perahu,
Pura-pura tidak tahu.

Lain dulang lain kakinya,
Lain orang lain hatinya.

Lain hulu lain parang,
Lain dulu lain sekarang.

Lima,enam,tujuh dan lapan,
Kuat bersenam sihatkan badan.

Murai gila jadi tekukur,
Ajaib hairan hati tafakur.

Orang berbudi kita berbahasa,
Orang memberi kita merasa.

Pagi petang siang malam,
Hati terang senang faham.

Paku dulang paku serpih,
Mengata orang dia yang lebih.

Pinggan tak retak nasi tak dingin,
Orang tak hendak kami tak ingin.

Pat-pat nya,
Siapa cepat dia punya.

Pokok tinggi buruk akar,
Matahari tinggi perut pun lapar.

Ratib-ratib buluh nipah,
Sudah ratip hendak upah.

Satu dua tiga empat,
Siapa cepat dia dapat.

Sebab pulut santan binasa,
Sebab mulut badan binasa.

Secupak nasi setahil berangan,
Tersepak kaki, terkehel tangan.

Siakap senohong, gelama ikan duri,
Bercakap bohong, lama-lama mencuri.

Sici, loro, telu, papat,
Melayu lari Jawa dapat.

Sudah garahu cendana pula,
Sudah tahu bertanya pula.

Tuku takal pengancing pintu,
Budak nakal memang begitu.

Taptibau puyuh padang,
Hilang pisau berganti parang.

Terima kasih daun keladi,
Kalau boleh mahu lagi.

Tinggi rendah panjang lebar,
Pergi sekolah mesti belajar.

Tua-tua keladi,
Makin tua makin menjadi.

Tak tumbuh tak melata,
Tak sungguh orang tak kata.

Umbut mayang letak di batu,
Rambut mengerbang banyak kutu.

Friday 1 June 2012

Doa Seorang Guru...

Ya Al Hakim…berilah aku kekuatan dan semangat serta ilham agar aku mampu terus membimbing anak-anak muridku yang sangat dahagiakan ilmu. Berikanlah aku keikhlasan yang jitu agar dapat aku mencurahkan ilmu yang engkau kurniakan kepada anak-anak didikku supaya lahir generasi masa depan yang terus mendokong perintah-Mu… Berilah aku kesabaran dalam menangani karenah generasi muda yang sangat mencabar keimanan dan kesabaranku… hulurkanlah aku kebijaksanaan agar aku mampu memacu kalam keinsanan hingga tiba masanya Engkau menjemputku pergi.

Saturday 10 December 2011

INOVASI DALAM P&P PRASEKOLAH

PROJEK TANAMAN HIDROPONIK

1) Matlamat :                                          
Projek Tanaman Hidroponik yang disediakan ini adalah bertujuan sebagai satu program yang dapat membantu meningkatkan pemahanan dan mengukuhkan pengetahuan sedia ada di kalangan murid prasekolah di samping menguasai semua aspek perkembangan, kemahiran asas justeru memberikan pengetahuan secara mendalam secara perlahan-lahan.

Dalam pada itu, tujuan utama projek ini adalah untuk memberikan pemahaman yang lebih jelas mengenai proses pertumbuhan pokok. Murid akan didedahkan dengan pengalaman  yang sebenar menggunakan bahan maujud serta mengenali transformasi dalam teknologi. Dengan adanya projek seperti ini, sedikit sebanyak telah memberikan impak yang berguna dalam meningkatkan tahap pengetahuan tentang suatu topik yang dilaksanakan. Malahan, proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah dapat dijalankan tanpa menerima banyak gangguan daripada murid sepanjang menjalankan eksperimen. Ini kerana, aktiviti yang disediakan adalah berorientasikan murid.

Pendidikan prasekolah menitikberatkan pendekatan ’Belajar Melalui Bermain’ yang tidak formal dalam proses pengajaran pembelajaran untuk membantu murid belajar dan menghadapi dunia sebenar dalam keadaan yang mengembirakan, selesa, selamat dan tiada tekanan.

Penekanan kepada konsep ’mudah ubah’ adalah menjadi kunci utama kepada pelaksanaan pendidikan prasekolah. Guru-guru prasekolah seharusnya bijaksana untuk menyesuaikan situasi pengajaran dan pembelajaran dengan keperluan, kebolehan dan latar belakang murid.  

2) Objektif
2.1) Objektif Am :
  1. Meningkatkan pengetahuan murid tentang fakta-fakta dan istilah-istilah Sains dalam pengajaran dan pembelajaran bagi membantu murid memahami dan meminati Tunjang Sains Dan Teknologi.
  2. Dapat menaikkan minat dan keyakinan diri murid untuk melaksanakan sesuatu yang baru.
  3. Dapat meningkatkan pengetahuan sedia ada murid semasa eksperimen dijalankan. Boleh dijadikan sebagai pengukuhan kepada suatu tema yang telah dipelajari.
  4. Mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif kerana melibatkan semua murid sepanjang aktiviti dijalankan.
2.2) Objektif Khusus :
Dengan adanya Projek Tanaman Hidroponik :
  1. Menanamkan minat murid dalam Tunjang Sains Dan Teknologi melalui aktiviti pembelajaran yang berkesan.
  2. Merancang aktiviti dan penggunaan bahan semasa pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
  3. Memberikan pendedahan awal kepada murid tentang fakta-fakta Sains yang mudah dan ringkas.
  4. Memberikan pendedahan dan pemahaman yang mendalam berkaitan dengan istilah-istilah Sains.
  5. Dapat memberikan pemahaman yang lebih nyata tentang suatu konsep yang di sampaikan.
  6. Dapat memastikan pencapaian murid-murid melalui perancangan yang dibuat dan diaplikasikan dalam bilik darjah.
  7. Membolehkan guru melihat sejauh mana keberkesanan perancangan dalam melaksanakan sesuatu idea baru.
  8. Mensasarkan sekurang-kurangnya 95% murid berjaya menguasai konsep Sains dengan baik.



PRINSIP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN YANG DIJALANKAN
  1. Mengambil kira latar belakang murid berbeza dari segi latar belakang peribadi, kecenderungan pembelajaran. 
  2. Perbezaan individu menentukan masa yang sesuai untuk belajar dan kadar kemampuan memperoleh ilmu. 
  3. Semua deria murid digunakan untuk aktiviti pembelajaran yang berkesan. 
  4. Menekankan pembelajaran melalui pengalaman yang menggunakan bahan maujud. 
  5. Mengutamakan belajar melalui bermain dalam suasana yang riang. 
  6. Pembelajaran hendaklah dijalankan secara bersepadu. 
  7. Meransang inisiatif, imaginasi dan kreativiti semasa murid belajar. 
  8. Menggalakkan interaksi yang mesra antara murid dengan guru, pembantu guru dan rakan sebaya.
3) Manual Pelaksanaan Projek Tanaman Hidroponik
3.1 Kandungan
          a) takung plastik
          b) penutup takung (polistirena)
          c) pasu semaian (8 unit)
          d) kapas nilon
          e) 3 jenis baja
          f) 2 jenis biji benih ( sawi dan sawi putih )
3.2 Langkah-langkah
  1. Isikan air ke dalam takung plastik sedalam 2 cm. Perhatian: sekiranya menggunakan air paip atau air tangki, pastikan ia telah tersimpan antara dua hingga tiga hari (supaya bebas dari klorin ). Air hujan yang diambil selepas hujan lebat juga boleh digunakan kerana ia tidak mengandungi bahan-bahan kotor atau kimia.
  2. Masukkan kapas nilon ke dalam pasu semaian dan kapas tersebut perlu dijuntaikan di antara 2-3 cm melalui lubang bawah pasu supaya dapat menyerap air. 
  3. Semaikan sebanyak lima (5) biji benih bagi setiap pasu semaian di atas kapas. (pastikan kapas basah). 
  4. Letakkan pasu-pasu yang mengandungi biji benih itu ke dalam takung plastik dan pastikan takung itu diletakkan di tempat yang tidak telus cahaya. (Benih akan rosak jika terkena cahaya matahari yang panas). 
  5. Benih akan bercambah selepas lima hingga tujuh hari, kemudian pindahkan pasu semaian ke dalam lubang-lubang yang terdapat di atas penutup takung. 
  6. Isikan air ke dalam takung, tetapi pastikan ada ruang udara pada pangkal pokok di permukaan air untuk pernafasan akar. 
  7. Masukkan baja kasar (putih) dahulu ke dalam air takung dan kacau sehingga larut dan masukkan baja halus (putih) seterusnya baja (hijau). Proses ini adalah untuk mengelakkan tindak balas antara baja. 
  8. Letakkan takung plastik di bahagian patio atau balkoni yang terlindung daripada hujan (hujan akan bertindak balas dengan baja). Ianya perlu mendapat sinaran matahari sekurang-kurangnya separuh hari atau buat bumbung yang ringkas (seperti meletak plastik PVC ke atas takung). 
  9. Proses pertumbuhan daripada biji benih sehingga tiba masa menuai mengambil masa selama 25-30 hari. 
 3.3 Persediaan peringkat awal
  1. Pada peringkat awal, guru berinteraksi dengan murid berkenaan dengan tumbuh-tumbuhan. 
  2. Menerangkan tentang kepentingan tumbuhan kepada kehidupan manusia. Mengaitkan kehidupan manusia dengan pokok. Keperluan yang diperlukan oleh manusia seperti air, udara dan cahaya. 
  3. Mempamerkan gambar yang menunjukkan perbezaan antara pokok yang mendapat elemen untuk membesar dan sebaliknya. 
  4. Untuk memberikan pemahaman yang lebih jelas, bawa murid untuk  menjalankan eksperimen tersebut. Bahagikan kepada beberapa kumpulan. 
  5. Asingkan beberapa semaian kepada yang mendapat semua keperluan untuk membesar, dan yang lain letakkan di dalam tempat yang gelap. 
  6. Setelah beberapa minggu, bawa murid untuk melihat perbezaan. 
  7. Menjalankan sesi bersoal jawab dengan murid tentang pemerhatian tersebut.
3.4. Peringkat kedua
  1. Perkenalkan kepada murid tentang alatan yang akan digunakan untuk menjalankan projek Hidroponik. 
  2. Penerangan kali ini adalah kesinambungan daripada projek tanaman yang dijalankan terlebih dahulu. 
  3. Mengimbas kembali elemen yang diperlukan oleh pokok untuk membesar. (air, udara, cahaya). 
  4. Bahagikan murid kepada beberapa kumpulan, terangkan cara menjalankan eksperimen tersebut menggunakan kaedah Hidroponik. 
  5. Setiap minggu pastikan membawa murid melihat perbezaan yang berlaku dan mencatat dalam kad yang disediakan. 
  6. Jalankan sesi bersoal jawab dengan murid tentang aspek-aspek yang dapat dilihat.
Perlaksanaan Projek Tanaman Hidroponik ini melibatkan beberapa Tunjang utama iaitu :
a)    Tunjang Sains Dan Teknologi
b)   Tunjang Bahasa Dan Komunikasi (BM)
c)    Tunjang Bahasa Dan Komunikasi (BI)
d)   Tunjang Fizikal
      
Kaedah yang digunakan adalah berdasarkan kesepaduan antara Tunjang.
  • Teknik pelaksanaan program adalah mengikut kesesuaian dan keupayaan murid prasekolah. 
  • Berasaskan Pendekatan P&P prasekolah. 
  • Program ini mengandungi tema-tema dalam pengajaran dan pembelajaran prasekolah.
4) Keberkesanan / Impak :
Program ini telah membuahkan impak yang positif di kalangan murid-murid prasekolah. Sekiranya pembelajaran hanya dijalankan dalam bentuk teori dan tiada kesinambungan daripada apa yang diterangkan, murid agak sukar untuk mendapat pemahaman yang lebih jelas. Hal ini akan membuatkan murid kurang berminat untuk mengikuti pelajaran yang di sampaikan.

Oleh yang demikian, guru perlu merancang satu aktiviti yang bersesuaian, jelas malahan menarik serta mudah untuk difahami. Seperti mana projek tanaman hidroponik ini dijalankan, murid terlebih dahulu telah didedahkan dengan pelbagai maklumat mengenai proses tumbesaran pokok. Sebagai kesinambungan kepada pelajaran tersebut, teknik tanaman pokok sayuran dengan kaedah lama dijalankan. Dengan cara ini, murid-murid akan bersama-sama bergotong-royong untuk menyediakan medium tanaman.
         
Di samping menerapkan kepelbagaian nilai dalam setiap tunjang, minat murid tidak terus terkubur, akan tetapi disuntik dengan minat untuk terus menjalankan aktiviti yang agak mencabar minda. Konsep Tanaman Hidroponik telah memberikan penjelasan yang terperinci dimana murid boleh melihat sendiri proses pokok itu membesar.
         
5) Kos Projek :
Bagi menyediakan Projek Tanaman Hidroponik ini tidak memerlukan kos yang tinggi malahan lebih ekonomik. Ini kerana, bahan eksperimen yang diperlukan mudah diperolehi. Guru perlu menyediakan kad tarikh semaian dan kad laporan pemerhatian yang akan diisikan oleh murid sepanjang minggu.

Set tanaman hidroponik boleh juga diperbanyakkan dengan menggunakan bahan-bahan yang diolah supaya menjadi bentuk yang sama seperti set tanaman hidroponik. Bahan yang diperlukan juga senang untuk diperolehi. Sebagai contoh, guru perlu menyediakan basin, polisterin, benang, cawan plastik kecil, baja dan biji benih. Dengan cara ini juga, projek tanaman hidroponik dapat diperbanyakkan.

Dalam pada itu, adalah lebih ekonomik menggunakan bahan terbuang seperti sabut kelapa atau span yang mudah doperolehi bagi menggantikan benang yang dijual. Sepanjang proses menyediakan projek ini, didapati ia tidak memakan masa yang agak panjang dan mudah disediakan kerana guru hanya perlu menyediakan set tanaman. Guru perlu mengagihkan murid kepada beberapa kumpulan, dan membuat demonstrasi cara melaksanakan aktiviti.
 
6) Masa :
Projek ‘Tanaman Hidroponik’ ini dijalankan pada waktu pembelajaran Tunjang Sains Dan Teknologi. Projek ini merupakan kesinambungan daripada program tanaman pokok sayuran menggunakan kaedah lama. Projek tanaman menggunakan pasu dan tanah terlebih dahulu dijalankan. Walau bagaimanapun, projek ini telah dimodifikasikan kepada bentuk hidroponik. Melalui cara ini, murid dapat membuat perbandingan antara dua jenis kaedah tanaman. Kesannya, murid dapat melihat proses pertumbuhan bermula dengan semaian, percambahan biji benih sehinggalah pokok itu membesar dengan lebih jelas.
  
Sepanjang proses tanaman membesar, murid di berikan tugasan untuk merekod pemerhatian. Pemerhatian akan dijalankan selang beberapa hari untuk melihat perubahan pada tanaman tersebut. Proses merekod pemerhatian adalah dengan bimbingan guru.

Dalam pada itu, guru tidak berasa bimbang mengenai keselamatan murid memandangkan set tanaman akan diletakkan di suatu sudut di dalam kelas. Maka, murid tidak perlu ke luar kelas untuk melihat tanaman tersebut.  
 
Penutup :
Lazimnya, setiap murid mempunyai kecerdasan dan kadar keupayaan yang berbeza antara setiap individu. Murid-murid yang lemah dalam pelajaran sering tercicir semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Kebiasaannya murid ini mempunyai sifat kendiri yang agak pasif serta kurang keyakinan diri malahan tidak mempunyai motivasi untuk belajar.
         
Sebagai seorang Guru Prasekolah yang mengendali dan berhadapan dengan murid seperti ini, adalah sewajarnya saya memikirkan suatu langkah alternatif untuk mengatasi masalah ini agar murid yang lemah tidak terus berakhir dengan kelemahan.
         
Seperti mana saya difahamkan bahawa guru-guru prasekolah mengalami masalah untuk menyampaikan pengajaran yang berkaitan dengan Tunjang Sains Dan Teknologi. Ini adalah disebabkan murid sukar untuk memahami konsep yang cuba disampaikan. Oleh yang demikian, saya mengambil inisiatif dengan menyediakan pembelajaran yang lebih bersifat menyeronokkan serta mampu menarik keseluruhan murid untuk mengikutinya.

Walaupun dengan menggunakan kaedah dan bahan yang telah sekian lama diaplikasikan, murid perlu juga dideahkan dengan teknologi baru malahan dapat melihat suatu konsep yang disampaikan dengan lebih jelas. Maka, saya telah memikirkan satu alternatif iaitu menyediakan Projek Tanaman Hidroponik.   Pada pandangan saya, proses penyediaan projek ini sangat mudah dan praktikal memandangkan ia tidak melibatkan kos yang tinggi. 

Program ini telah memberikan impak yang positif di kalangan murid prasekolah kerana ia memberikan pengetahuan dengan lebih jelas berkaitan dengan proses tumbesaran pokok. Saya berpendapat bahawa projek ini mampu memberikan pengalaman dan pengetahuan secara menyeluruh.  

Saya akan meneruskan Projek ’Tanaman Hidroponik’ ini pada masa-masa akan datang dengan menyediakan dan menyusun semula aktiviti
dengan lebih sistematik bagi memudahkan murid menjalankan aktiviti. Saya juga berharap program ini dapat di guna pakai oleh para guru prasekolah yang lain.

Kejayaan murid-murid kita sebenarnya bergantung juga kepada bahan yang sesuai, kaedah yang tepat, kesungguhan guru dan kesediaan murid pada usia mereka masih kecil. Daya kreatif seseorang guru telah memberi sumbangan bagi meningkatkan tahap pencapaian seseorang murid. Walaupun Tunjang Sains Dan Teknologi merupakan satu komponen pengajaran dan pembelajaran yang sukar untuk disampaikan bagi sesetengah guru prasekolah, namun ianya dapat diatasi dengan menyediakan suasana pembelajaran yang aktif dan tidak membosankan. 

CADANGAN RANCANGAN MENGAJAR
TAJUK :
Mari Menanam Sayur (Hidroponik)
CADANGAN MASA :
60 minit
TUNJANG UTAMA :
Sains Dan Teknologi
STANDARD PEMBELAJARAN UTAMA :
ST 3.3.9 memerhati dan merekodkan proses percambahan biji benih dan
             pertumbuhan anak benih dari segi ketinggian dan pertambahan
             daun dengan bimbingan.

STANDARD PEMBELAJARAN LAIN YANG DISEPADUKAN
BM 2.1.3 berbual menggunakan ayat yang mudah dengan sebutan yang
              betul.
BM 4.2.6 menyalin perkataan dengan cara yang betul.
KM 6.2.2 bercerita dengan bimbingan guru tentang kepentingan air, udara,
              matahari kepada hidupan di dunia.
KTI 1.2.11 mereka corak bebas dengan menggabungjalinkan pelbagai teknik
                membuat corak dan rekaan.
OBJEKTIF PELAJARAN :
Pada akhir pelajaran murid dapat :
  • Menyatakan kepentingan air, udara, matahari kepada hidupan di dunia.
  • Melihat perubahan pertumbuhan biji benih dari segi ketinggian dan pertambahan.
KONSEP UTAMA :
Air, udara dan matahari penting kepada kehidupan kita.
KOSA KATA
Hidroponik, cahaya, udara.
ALATAN DAN BAHAN :
  • Set Tanaman Hidroponik
  • Biji benih
  • Kad pemerhatian
  • Lembaran kerja
LANGKAH-LANGKAH PENGAJARAN :
Pendahuluan :
1.        Guru menunjukkan beberapa keping gambar sayur-sayuran kepada murid.
2.        Bersoal jawab dengan murid tentang kepentingan memakan banyak sayuran.
3.        Menerangkan kepada murid mengenai elemen yang penting bagi hidupan di muka bumi. (air, udara, cahaya).
Perkembangan :
1.    Bahagikan murid kepada empat kumpulan kecil.
2.         Bawa murid mengikut kumpulan untuk menyediakan set tanaman hidroponik.
3.    Bimbing murid untuk menjalankan aktiviti.
Penutup :
1.    Bantu murid untuk menulis tarikh pada kad semaian.
2.        Guru akan membawa murid memerhatikan semaian selepas beberapa hari untuk melihat perkembangan.
3.    Merekod pemerhatian.

Pertaksiran :
1.    Bersoal jawab dan pemerhatian.

Catatan :
1.         Guru memastikan supaya semua peralatan yang digunakan oleh murid telah dibersihkan.
2.         Guru perlu menyediakan latihan sampingan untuk murid bagi mengukuhkan penguasaan murid di samping menjadikan pengajaran lebih menarik dan berkesan.