Wednesday 9 October 2013

PSIKOMOTOR DAN PERGERAKAN KANAK-KANAK


LAPORAN
KERTAS KERJA

PENGAJARAN GERAK TARIAN KEPADA KANAK-KANAK

PENDAHULUAN

Persembahan Tarian Tradisional adalah satu aktiviti yang memberikan pendedahan kepada kanak-kanak untuk menghayati keunikan warisan budaya negara. Di samping itu, perkembangan yang seimbang dalam diri kanak-kanak dalam segala aspek dapat dipupuk.  Seni tari merupakan warisan budaya yang menghiasi keunikan kaum-kaum di Malaysia sama ada orang Melayu, orang Cina, orang India dan bumiputera Sabah dan Sarawak. Gerak tari yang dipersembahkan benar-benar eksotik dan menawan apabila ianya ditambah dengan gerak anggota badan yang dilakukan dengan lemah lembut sambil diiringi dengan bunyian muzik.

SEKILAS PANDANG

Tarian joget merupakan tarian yang paling popular di Malaysia. Asal-usul tarian joget ini dikatakan mempunyai perkaitan dengan elemen tarian Portugis yang telah diperkenalkan di Melaka semenjak era perdagangan rempah.Tarian ini dijadikan sebagai tarian sosial serta diterima oleh berbagai-bagai kaum di Malaysia. Tarian ini dipersembahkan apabila menjelang sesuatu perayaan kebudayaan, meraikan majlis perkahwinan dan juga majlis-majlis yang lain. Tarian Joget ini dipersembahkan oleh sepasang penari dengan kombinasi pergerakan tangan dan kaki yang pantas. Joget ini merupakan satu tarian yang hebat dengan tempo yang pantas dan amat digemari dalam kalangan golongan muda mahupun tua.

Tarian Sumazau adalah satu jenis tarian tradisional dari suku kaum Dusun-Kadazan di negeri Sabah, terutama bagi suku kaum Dusun di Membakut, Penampang, dan Papar. 'Sumazau' adalah berasal daripada kata akar 'Sazau' yang bermaksud lompatan dalam dialek suku kaum itu. Tarian Sumazau pada mulanya adalah berdasarkan pergerakan unggas yang berjalan di atas tanah, iaitu dengan membuat lompatan kecil, tetapi telah diubah dari semasa ke semasa hingga ke hari ini. Tarian ini akan diiringi oleh muzik tradisi yang memainkan muzik dengan alunan dan maksud yang tertentu. Antara alat muzik yang digunakan adalah seperti gendang, gong, tetawak, caklempung, sompotan, dan berbagai-bagai lagi. Penari-penari tarian Sumazau ini yang terdiri daripada lelaki dan wanita akan memakai sejenis pakaian khas yang diperbuat daripada kain baldu dan tenunan benang.

OBJEKTIF

·         Mempertingkatkan kefahaman dan kesedaran kepada kanak-kanak tentang tanggung jawab untuk memelihara dan memperkembangkan warisan budaya.
·         Memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menunjukkan bakat dan kreativiti masing-masing.
·         Menggalakkan murid-murid menghayati tarian tradisional yang ditarikan serta mengetahui sejarah tarian tersebut secara ringkas.
·         Membina keyakinan diri dalam kalangan murid.

RASIONAL

·         Menghargai budaya warisan bangsa di Malaysia.
·         Meningkatkan pengetahuan tentang tarian di Malaysia.
·         Menghidupkan nilai-nilai budaya dalam diri kanak-kanak.

JUMLAH MURID
·         Tarian Joget Pahang  = seramai 6 orang murid.
·         Tarian Sumazau         = seramai 6 orang murid

MASA LATIHAN
·         Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika (Perkembangan Kreativiti)

PENGELOLAAN
·   Sesi pengajaran gerak tari ini dijalankan di dalam kelas semasa pembelajaran Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika di bawah sub Perkembangan Kreativiti. Perkembangan kreativiti merangkumi seni visual, pendidikan muzik serta drama dan gerakan kreatif. Tunjang ini lebih menekankan proses daripada produk. Kanak-kanak diberi peluang untuk menzahirkan idea mereka secara kreatif dan melibatkan diri dalam aktiviti kreativiti.

COSTUME
·         Kelengkapan persembahan tarian yang lengkap dan sempurna mampu meningkatkan lagi semangat murid-murid untuk lebih tekun berlatih seterusnya membuat persembahan dengan lebih menarik. Oleh itu, pakaian yang sesuai dipilih agar sesuai dengan tarian yang akan dipersembahkan.
Tajuk   : Joget Pahang
Muzik : Jing Kling Nona
Langkah-langkah pengajaran tarian:

Langkah pertama.
Murid berdiri tegak sebelum memulakan tarian.
·         Apabila muzik dimainkan, murid akan bertepuk tangan secara bersahaja sambil menggoyangkan bahu dan badan perlahan-lahan.

Langkah kedua.
Seterusnya murid akan menukar gerakan dengan tangan kiri di atas bahu serta tangan kanak berada di pinggang sebaliknya bagi kanak-kanak lelaki.
·         Gerakan diselang-selikan dengan kaki kiri dan kanan.

Langkah ketiga.
·         Pergerakan tangan dan kaki di tukar seperti pada langkah yang ketiga.
·         Ulang pergerakan beberapa kali.
·         Ketika ini, murid dikehendaki peka dengan muzik agar pergerakan seterusnya dapat dilakukan serentak.

Langkah keempat.
Secara berpasangan, murid akan berjoget dengan menyilangkan kaki kiri dan kanan.
·         Tangan murid berada di bahu dengan arah bertentangan dengan pasangan.

Langkah kelima.
Murid perempuan akan bergerak kebelakang dan menyilangkan tangan ke lengan lelaki.
·         Secara berpasangan, murid akan bergerak perlahan dalam rentak tari dengan menggoyangkan bahu dan pinggang.

Langkah keenam.
Sebelum menamatkan persembahan, murid lelaki akan dating hampir ke murid perempuan.
·         Berada dalam keadaan bercangkung, tangan kanak akan dinaikan ke atas manakala murid perempuan hanya berdiri dan menaikan tangan ke atas sambil menggoyangkan pinggan dan badan.
Tajuk   : Tarian Sumazau
Muzik : Tinggi Tinggi Gunung Kinabalu

Langkah-langkah pengajaran tarian:
Langkah pertama.
Pergerakan menghayunkan tangan menegak ke hadapan.
·         Kaki dijengkekkan sedikit agar menampakkan pergerakan pada kaki.

Langkah kedua.
Tangan dihayunkan ke belakang.
·         Sama seperti pergerakan pertama, murid hanya perlu menghayunkan tangan ke depan dan kebelakang.

Langkah ketiga.
Murid perempuan menukar kedudukan dengan memusingkan badan ke belakang supaya bertentangan dengan murid-murid lelaki.
·         Hayunan tangan hendaklah serentak dan kaki bergerak sedikit seperti dijengkekkan sedikit.

Langkah keempat.
Murid lelaki bertukar tempat dengan murid perempuan.
·         Pergerakan yang dilakukan sama, cuma murid perlu bergerak perlahan dan kaki seiring.
·         Memandang kehadapan dan mendepakan tangan ke atas dank e bawah.
·         Bersedia untuk menamatkan tarian.

PENUTUP

Perkembangan kanak-kanak mencakupi berbagai-bagai aspek iaitu, aspek-aspek fizikal, mental, bahasa, sosioemosi dan kerohanian. Perkembangan yang sihat mestilah mencakupi semua aspek yang dinyatakan. Memandangkan pentingnya aspek-aspek ini, maka aktiviti-aktiviti yang dirancang seharusnya memberikan keutamaan kepada semua aspek perkembangan di samping membantu dalam perkembangan aspek yang lainnya.

Oleh yang demikian, aktiviti gerak tari juga merupakan salah satu elemen yang penting dalam membantu perkembangan murid. Malah, ia berpotensi untuk mencungkil bakat kecil agar dapat diketengahkan. Selain itu, menerusi aktiviti tarian juga membantu dalam perkembangan psikomotor, kognitif serta afektif murid.